Sunday, July 28, 2019

YB DR MASZLEE: KERAJAAN AMBIL LANGKAH BAIKI PENDEKATAN DALAM PENDIDIKAN


YB Dr. Maszlee Malik, Menteri Pendidikan Malaysia berkata, pihak kerajaan telah mula mengambil langkah ke arah memperbaiki pendekatan dalam pendidikan bagi menyediakan generasi yang memenuhi nilai-nilai masyarakat alaf baru berorientasikan teknologi dan berteraskan manusia iaitu Masyarakat 5.0.

"Kami percaya bahawa perjalanan ke arah Masyarakat 5.0 harus dan mesti bermula dengan mengubah cara kita mendekati pendidikan di semua peringkat iaitu dari minda yang sangat muda di tadika ke graduan universiti," katanya pada Majlis Perasmian Persidangan Asia Pacific Advanced Network Ke-48 (APAN48) di Universiti Putra Malaysia (UPM), hari ini.


Menurut YB Dr. Maszlee, dengan menambah baik isi kandungan, mengadaptasi teknologi dalam kaedah pengajaran dan pembelajaran serta tumpuan fokus pada pemerkasaan kepada manusia dan kemahiran mampu membawa rakyat Malaysia ke tahap kemahiran berfikir yang lebih tinggi.

Ucapan beliau telah dibacakan oleh YBrs. Puan Norizan Harun, Setiausaha Bahagian Pengurusan Maklumat, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Persidangan anjuran UPM dengan kerjasama KPM yang bertemakan Ke Arah Kesejahteraan Masyarakat Mapan ini telah mengumpul seramai 240 penyertaan dari 27 negara.

Ini adalah APAN keempat yang menyaksikan Malaysia menjadi tuan rumah selepas APAN ke-12 pada 2001, APAN ke-28 (2009) dan APAN ke-40 (2015) yang meneruskan kunci pemacu bagi mempromosi dan mempermudahkan kajian berkaitan rangkaian komputer dan aktiviti pembelajaran di rantau Asia Pasifik.

Komuniti APAN yang terdiri daripada penyelidik, ahli teknologi, pereka inovasi dan usahawan memainkan peranan penting dalam melakar dan mencipta kemajuan baru yang mengimbangi alam jagat, sains dan teknologi serta kemunculan bakat kreatif dan seni dari pelbagai budaya di dunia.

Turut hadir, Dr. Suhaimi Napis, Pengerusi APAN48 dan Pengerusi Lembaga Pengarah APAN, Gerrit Bahlman.

1 comment:

  1. warga pendidik sedia menerima perubahan yang memberi impak positif buat anak didik

    ReplyDelete

Popular Posts

Iklan SKPSP

Blog Archive